Suatu ketika, dalam bulan November 2012. Saya telah mendapat jemputan dari rakan-rakan di Kuching untuk sama-sama berbincang mengenai idea untuk menubuhkan sebuah persatuan perubatan Islam.
Saya berangkat dari Bintulu pada pagi hari Jumaat dan balik pada hari Ahad. Perbincangan kami adakan pada siang hari dan pada waktu malam kami tidak terikat dengan sebarang aktiviti dan terserah untuk merancang aktiviti masing-masing.
Pada hari jumaat tersebut, lebih kurang dalam pukul 4.00 petang setelah selesai sesi perbincangan kami, salah seorang rakan saya dari Kuching iaitu Ustaz Ehsan (Bukan nama sebenar) menyapa saya;
“Malik. Malam ni free tak? Kalau free aku nak ajak kau pergi ke rumah sorang makcik ni? Nama dia Makcik Non. Tolong temankan aku untuk merawat dia boleh tak?”
Saya jawab;
“Kalau awal Insyaallah boleh. Sebab dalam pukul 10.30 malam aku dah janji dengan Ustaz Kiya (bekas gitaris Kumpulan Rock Vagrant dan bekas komposer dan penerbit lagu) dan kawan-kawan kita yang lain nak lepak sama kat gerai makan di Kampung Boyan.”
“Ok. Kalau macam tu lepas maghrib aku ambik kau kat Hotel Dormani k..”
‘Ok. Set..”
Selepas solat maghrib saya menunggu kehadiran Ustaz Ehsan datang untuk menjemput saya di lobby Hotel Dormani. Lebih kurang dalam pukul 7.30 malam Ustaz Ehsan menelefon dan memberitahu yang dia sedang menuggu saya di luar perkarangan Hotel Dormani.
Saya berjalan keluar dan mencari Ustaz Ehsan yang mana kebetulan ketika itu sedang menunggu saya di dalam kereta di seberang jalan.
Setelah itu kami terus bergerak menuju ke sebuah kampung di kawasan Petra Jaya. Nama kampung itu biarlah saya rahsiakan. Klunya ada di pengakhiran cerita ini nanti. Perjalanan tidaklah begitu jauh. Cuma perlu untuk menyeberang sungai menggunakan kereta dengan melalui jambatan. Sepanjang perjalanan, kami bercerita sekitar tentang rawatan Islam dan sesekali mengubah topik berkenaan dengan isu semasa.
Lebih kurang dalam 30 minit kami telah sampai ke kampung tersebut. Kawasannya agak padat dengan rumah, kenderaan dan penduduk kampung yang sedang lalu lalang. Kami mengambil masa yang agak lama untuk mencari tempat untuk meletak kereta yang sesuai.
Alhamdulillah akhirnya kami telah menjumpai tempat untuk meletak kenderaan. Iaitu di sekitar halaman masjid. Ada banyak ruang kosong di situ. Walaupun kami terpaksa menapak sejauh 50 meter lagi untuk sampai ke simpang rumah Makcik Non itu nanti. Walaupun agak jauh, tapi melihat pandangan suasana persekitaran kampung menyebabkan penat tidak terasa hinggakan perjalanan kami telah sampai di persimpangan rumah Makcik Non.
Kelihatan anak-anak kecil masih lagi berkeliaran di luar rumah walaupun jam tangan saya telah menunjukkan yang ketika itu telah hampir jam 9.00 malam. Dari simpang tersebut kami akan meredah belukar kecil sekitar 5 minit untuk sampai ke rumah Makcik Non. Perjalanan agak sedikit rumit. Sesekali saya hampir tersungkur juga kerana terlanggar anak tunggul dan kayu-kayu liar yang menjalar melintangi laluan kami.
Seluar kami lipat hingga ke paras betis. Agar tidak kotor masa bertandang ke rumah orang. Beberapa detik kemudian kami telah sampai di halaman rumah pesakit Ustaz Ehsan tadi iaitu Makcik Non.
Saya perhatikan dari luaran rumah tersebut sangat cantik. Tiangnya dari kayu belian, atap dari kepingan bersegi empat sama juga dari kayu belian dan susun aturnya sangat kemas. Saya teringat akan rumah nenek saya di Kampung Dagang Bintulu pada era 80an dulu. Sekarang rumah nenek sudah tiada lagi. Dan tapak rumah nenek sekarang telah menjadi Hotel Kemena Plaza Jalan Taman Sri Dagang.
Rumah nenek di Kampung Daganglah tempat saya dan adik-beradik yang lain membesar. Setiap malam menunggu di beranda sambil melihat puluhan bahkan ratusan manusia berjalan pulang ke pasar lama selepas menonton wayang di Panggung Sri Sarawak. Seingat saya ketika itu sedang hangat ditayangkan cerita ‘The Return Of Godzilla’ pada tahun 1984.
Kadang-kadang pada waktu petang kami bermain-main di SK Orang Kaya Mohammad dan juga bersama kawan-kawan lain bermain di halaman rumah Allahyarham Tuan Haji Ramli bin Bakar dan kadang-kadang menumpang ihsan menonton cerita terbaru melalui tayangan video tape di rumah Allahyarham Haji Thomas atau Haji Syafiee.
“Assalamualaikum..Assalamualaikum..”
Ustaz Ehsan memberi salam kepada tuan rumah.
“Waalaikum salam..”
Terdengar sahutan salam dari dalam rumah. Alunan suaranya saya ingat agak lembut. Mungkin suara anak gadis kata hati saya. Ustaz Ehsan siap-siap memperbetulkan kopiahnya. Sempat juga Ustaz Ehsan menunjukkan kepada saya kopiah putihnya yang mula kekuningan sebelum dia memperbetulkan kembali agar dalam keadaan yang rapi.
“Made in China ni Malik..”
Kami ketawa kecil. Selepas itu terdengar bunyi pintu dibuka. Kami terpaku seketika kerana ternyata suara itu adalah datangnya dari suara gadis kecil yang cantik. Perwatakannya sopan, bertudung labuh dan memelihara pandangan mata.
“Budak-budak lagi perempuan ni Malik. Anak Makcik Non. Masih Tahun 6. Bersekolah di SK Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Kuching Sarawak.” Ujar Ustaz Ehsan.
“Kalau masih budak-budak kenapa pulak Ehsan..? Tanya saya.
Ustaz Ehsan cuma tersenyum sambil memandang saya. Cuma dia sahaja yang tahu kenapa.
Semasa di dalam perjalanan tadi Ustaz Ehsan sempat juga bercerita mengenai Makcik Non yang akan dirawat olehnya. Menurut Ustaz Ehsan, ini kali yang ke dua beliau merawat Mskcik Non ini. Kali pertama Ustaz Ehsan merawat Makcik Non adalah pada dua malam yang lepas iaitu pada hari rabu.
Menurut Ustaz Ehsan, Makcik Non mungkin mengalami gejala gangguan sihir berdasarkan rawatan yang pertama. Untuk rawatan pada malam ini cuma berkisar untuk membuang lebihan gangguan jin sekiranya ada.
Kami dipersilakan oleh anak gadis tadi untuk naik ke rumah. Kemudian kami dipersilakan untuk duduk di atas kerusi rotan yang agak usang. Suasana rumah tersebut sangat menarik minat saya. Menurut pengamatan saya suasana rumah seperti ini cuma wujud pada era penghujung 70an. Saya memilih untuk duduk di kerusi tengah. Di belakangnya ada dua buah tingkap yang tertutup.
Kami sempat berbual-bual kosong sementara menunggu Makcik Non yang ingin dirawat tadi keluar dari bilik di bahagian dapur. Setelah beberapa ketika Makcik Non keluar, lengkap bertelekung dan memberi salam kepada kami.
Selepas kami menjawab salam, Ustaz Ehsan memulakan rawatan dengan membaca beberapa potong ayat-ayat Al Quran dan doa daripada Rasulullah. Sepanjang masa rawatan saya duduk sambil melihat handphone. Sesesakali saya perhatikan juga ruang tamu rumah Makcik Non ini. Banyak barang-barang perhiasan lama yang tersimpan rapi di dalam almari kayu. Kelihatan tersusun cantik Muqaddam dan Al Quran lama dan buku ‘Tenggelamnya Kapal van der Wijck’ karangan Profesor Hamka di atas almari kuning yang lusuh warnanya.
“Heningkan hatimu kembali. Sama-sama kita habisi kekecewaan yang sudah-sudah. Maafkan saya. Cintai saya kembali.”
Antara lakaran indah sentuhan Profesor Hamka dalam novel ini.
Anak gadis tadi saya lihat memandang saya dengan tersenyum sambil masuk ke ruang dapur. Kemudian saya duduk sambal memerhati gelagat Ustaz Ehsan membaca al quran sambil mengelap peluh pada hujung dahi.
Mata saya mula mengantuk. Mungkin tiada apa-apa yang menarik bagi saya. Sesekali saya terlelap juga ketika bersandar di kerusi.
Tiba-tiba lamunan khayalan saya terhenti bila mendengar bunyi ketukan.
“Tok…tok…tok…”
Saya membuka mata dan memandang ke arah sekeliling saya. Kemudian bunyi ketukan kedengaran sekali lagi.
‘Tok…tok…tok…”
Dari bunyi ketukan itu saya yakin ia datang dari tingkap yang tertutup di belakang saya. Dengan segera saya bingkas bangun dan membuka tingkap rumah tersebut. Saya terkejut juga melihat tindakan spontan saya sendiri yang tiba-tiba bangun dan terus membuka tingkap. Kalau dari segi menjunjung adab, mungkin agak kurang sopan kerana saya membuka tingkap rumah orang tanpa keizinan.
Semasa saya membuka tingkap rumah tersebut, saya perhatikan ada sesosok tubuh manusia yang mengintai dari celah-celah tingkap berkenaan. Suasana malam agak gelap dan sukar untuk saya melihat dengan lebih jelas. Cahaya lampu dari dalam rumah sedikit sebanyak menyinari kawasan luar rumah.
Saya buka dengan agak lebar lagi. Dari situlah saya ternampak seorang pakcik. Kelihatan dalam usia 60an. Berkain sarung dan tidak memakai baju. Saya perhatikan di sekitar kawasan luar rumah. Suram dan gelap.
Pakcik tadi lantas memberi salam kepada saya;
“Assalamualaikum. Anak apa khabar..?”
“Waalaikumsalam Pakcik. Alhamdulillah sihat. Pakcik pula apa khabar..”
“Alhamdulillah nak. Anak tengah buat apa kat sini..?
“Saya datang bersama kawan pakcik. Kawan saya sedang merawat Makcik Non.”
Jelas saya sambil menunjuk dan memandang ke arah Ustaz Ehsan yang tekun membaca ayat-ayat al quran dan Makcik Non.
“Owh…tak apalah nak. Anak rawatlah Makcik Non tu. Dia dah lama sakit. Dah puas jugak pergi berubat ke mana-mana. Cuma Allah belum berkehendakkan Makcik Non untuk sembuh..”
Saya cuma anggukkan kepala. Kemudian saya bertanya;
“Pakcik nak pergi ke mana ni..?”
“Pakcik nak pergi ke mana ni..?”
Sambil saya memerhati pakcik tadi dalam keheningan malam. Berkain tanpa baju dan berbasikal tanpa selipar.
“Pakcik baru balik dari rumah anak pakcik. Tu yang ada lampu kuning tu..”
Jelas pakcik tadi sambil menunjuk kedudukan rumah anaknya yang agak jauh sedikit dari rumah Makcik Non.
Saya memandang keluar ke arah kedudukan rumah anaknya. Dari jauh kelihatan sebuah rumah putih yang agak besar. Agak samar-samar juga kerana dikelilingi belukar tadi.
“Ni pakcik nak baliklah ye..? Tanya saya.
“Ya nak..”
“Rumah pakcik pula kat mana..”
“Tu depan tu je..”
Sayapun memerhati pula ke arah hadapan. Nampak sebuah rumah yang agak usang dan kecil. Saya perhatikan pakcik ini dengan penuh minat. Beliau menjelaskan yang setiap malam dia akan datang menziarahi anaknya di rumah besar tersebut walaupun kedudukan rumah mereka cuma sekitar 50 meter sahaja.
Kemudian pakcik tersebut memerhati wajah saya dan tersenyum.
“Pakcik nak baik dulu. Pagi esok nak ke rumah anak buah Pakcik kat Kampung Bako pulak..”
“Baiklah pakcik. Hati-hati ya. Jalan becak tu..”
“Iya nak. Assalamualaikum..”
“Waalaikumsalam pakcik. Hati-hati ya..”
Pakcik tadi sempat mengangkat tangannya. Mungkin sebagai reaksi kepada kata-kata saya. Saya perrhatikan sahaja pakcik itu berbasikal. Saya juga melihat hijauan rumput dan dedauan kecil yang basah akibat air embun malam. Akhirnya pakcik itu menghilang di kegelapan malam setelah meredah 2-3 batang pokok getah tua yang menunggu masa untuk tumbang.
Saya terlupa untuk bertanya kepada pakcik tadi berkenaan dengan namanya. Insyaallah kalau ada rezeki untuk bersua dengan pakcik tadi saya akan bertanya akan namanya.
Setelah kelibat pakcik tadi hilang dari pandangan mata saya, saya memerhati sekeliling halaman rumah Makcik Non. Rumput, dedaunan yang gugur berserakan, ranting-ranting pada celah pokok-pokok getah tua seakan-anak menari dan melambai-lambai ke arah saya sambil ditiup angin, bunyi geseran pokok-pokok seolah-olah menyanyikan lagu yang mendayu-dayu terdengar jelas di sekeliling saya. Suara anjing-anjing liar mula kedengaran. Sayup-sayup dan bersahutan.
Tiba-tiba saya merasa tidak sedap hati. Saya ambil keputusan untuk menutup tingkap. Setelah itu saya periksa lagi untuk kali yang kedua bagi memastikan yang tingkap itu benar-benar telah saya tertutup dengan rapat. Kemudian saya duduk di kerusi yang saya duduk tadi. Saya rebahkan badan, duduk dan kembali memerhatikan gelagat Ustaz Ehsan merawat Makcik Non.
Saya terkejut apabila melihat Ustaz Ehsan memandang tepat ke arah muka saya sambil matanya ketika itu terkebil-kebil tanpa henti.
Saya tersenyum. Ustaz Ehsanpun tersenyum dan memeruskan bacaannya. Menurut saya mungkin Ustaz Ehsan tersenyum memandang gelagat saya semasa bercerita kepada pakcik tadi.
Setelah Ustaz Ehsan habiskan bacaannya, beliau memberi tazkirah dan tausyiyah kepada Makcik Non. Makcik Non tunduk sambil menganggukkan kepala. Tiada lagi tanda-tanda gangguan pada diri Makcik Non. Mungkin sudah sembuh dengan izin Allah. Insyaallah.
Setelah itu Ustaz Ehsan beredar dari atas lantai dan duduk di samping saya. Ustaz Ehsan memegang bahu saya sambil bertanya;
“Malik. Tadi kamu bercerita dengan siapa..?”
“Dengan pakcik tua. Pakcik tu tinggal tidak jauh dari rumah Makcik Non. Mungkin Makcik Non kenal dia.” Jelas saya.
“Tak apalah Malik. Insyaallah esoklah saya cerita. Petang esok selepas kita mesyuarat kita akan datang ke rumah Macik Non lagi ok? Saya nak ajar Makcik Non amalan-amalan yang perlu dilakukan bagi mengelakkan gangguan sihir ini berulang..”
“Insyaallah Ehsan..” Jawab saya dengan penuh tanda tanya.
Keesokan harinya pada sebelah petang saya dan Ustaz Ehsan datang lagi ke rumah Makcik Non. Seperti semalam, kami disambut dan dipelawa masuk oleh anaknya. Saya dan Ustaz Ehsan duduk di ruangan tamu. Tempat saya duduk malam tadi. Ustaz Ehsan tiba-tiba bangun dari tempat duduknya menuju ke arah tingkap sambil memanggil saya.
“Malik. Jom tengok kat sini.”
Saya bingkas bangun dan berdiri di sebelah Ustaz Ehsan.
“Malik, kamu tengoklah sendiri apa yang ada di luar..”
Saya perhatikan celoteh Ustaz Eshan yang mana badannya jauh lebih rendah daripada saya. Sambil tersenyum saya mula mengorak langkah menuju ke arah Ustaz Ehsan. Ketika memandang ke arah luar tiba-tiba saya beristighfar..
‘Astaghfirullahal ‘azhim.”
“Malik. Kamu Nampak apa kat luar”?
“Sungai..”
Beberapa kali saya gosok-gosokkan mata. Kemudian beristighfar dan kembali memerhatikan apa yang ada di luar kawasan rumah Makcik Non.
“Sungai..”
“Betul Malik. Sungai..”
“Jadi, yang aku tengok malam tadi tu apa Ehsan..? Aku cerita dengan siapa..?
Ustaz Ehsan cuma tersenyum..
“Ehsan, Pakcik tu..”
Lidah saya tiba-tiba menjadi kelu. Saya terus memandang ke hadapan. Ternyata apa yang saya lihat malam tadi tidak seperti realiti.
Tiba-tiba Ustaz Ehsan tersenyum sambil menjentik kuat ke arah hidung saya.
“Aduh. Sakit Ehsan..”
Ustaz Ehsan ketawa sambil memegang bahu saya.
“Malik. Kalau kau nak tahu, itulah yang aku alami masa kali pertama datang ke sini.”
Kalau bukan kerana kami berada di rumah Makcik Non sudah tentu saya cekik leher Ustaz Ehsan, ikat dan lempar jauh-jauh Ustaz Ehsan tu ke sungai. Biar mati dimakan buaya kerana menjentik hidung saya.
Hidung saya masih sakit dan kemerah-merahan. Sama seperti hidung pelakon Jackie Chan sewaktu berlakon filem kungfu ‘Drunken Master’ sekitar tahun 78.
Saya kemudiannya terus memandang ke hadapan sambil memerhati gerak arus air sungai yang mula surut secara perlahan. Dari kejauhan kelihatan anak-anak kampung mandi di tepi sungai.
Bagaimana mungkin malam tadi pakcik tersebut boleh menunggang basikal dan duduk di atas basikal berhampiran dengan saya di luar rumah? Sedangkan kenyataannya rumah Makcik Non ini berada di atas air? Kemudian saya perhatikan anak sungai di hadapan saya. Betul-betul tempat saya bercerita dengan pakcik itu malam tadi.
“Sungai..”
Ustaz Ehsan memerhatikan saya dan kemudian berundur lalu duduk di atas lantai rumah. Memberi salam dan menyapa Makcik Non yang baru keluar dari bilik. Semua itu tidak menarik minat saya.
Mata saya masih lagi tertumpu pada sungai di hadapan saya. Apakah yang saya lihat semalam adalah halusinasi ataupun khayalan ataupun realiti? Ataupun dengan lebih tepat sebenarnya adalah tipu daya syaitan.
Bagaimana mungkin pada malam tadi saya melihat pakcik misteri tersebut sedang berbasikal di atas rumput-rumput yang basah, tiang lampu kuning, rumah putih yang besar kepunyaan anak pakcik tadi, jalan yang becak, rumah kecil milik pakcik tersebut, dedaunan kecil dan pokok-pokok getah?
Juga dedaunan yang gugur berserakan, ranting-ranting pokok-pokok getah tua seakan-anak menari ditiup angin, bunyi geseran pokok-pokok seolah-olah menyanyikan lagu yang mendayu-dayu dan suara anjing-anjing liar. Kesemuanya ini secara hakikatnya memang tidak pernah ada.
Apa yang saya alami dan lihat pada malam tadi sebenarnya tidak pernah wujudpun di alam realiti. Sebenarnya yang ada cumalah pergerakan air dari Sungai Sarawak yang mengalir perlahan. Sesekali bergerak membawa sampah-sampah menuju ke hilir sungai.
Kesemua ini ternyata adalah tipudaya syaitan sahaja. Ternyata saya telah ditipu melalui kelemahan pandangan mata saya sendiri. Allahu Rabbi. Betapa kecil rasanya saya ketika itu. Hamba yang sangat-sangat lemah.
Dalam perjalanan balik saya masih lagi memikirkan apa yang saya alami pada malam tadi. Sebelum balik ke hotel Ustaz Ehsan telah membawa saya makan di Salleh’s Corner. Di situ memang tempat pilihan saya untuk makan malam sekiranya saya datang ke Kuching.
Apa-apapun yang terjadi semasa di rumah Makcik Non tidak akan saya dapat lupakan walaupun sudah bertahun lamanya. Dan hingga sekarang saya tidak pernah bosanpun untuk bercerita tentang kisah misteri Makcik Non ini kepada anak-anak murid saya di SK Kampung Jepak Bintulu.
Alhamdulillah. Ini merupakan suatu ujian dan pengalaman spiritual dari Allah buat diri saya iaitu sebuah misteri yang belum terungkap hingga kini. Untuk saya kongsikan buat tatapan dan catatan pada masa hadapan
0 comments:
Post a Comment