Terdapat banyak hospital yang dikatakan berhantu bukan sahaja di
Malaysia bahkan di seluruh dunia. Setiap negara mempunyai kisahnya
sendiri tentang hospital yang berhantu. Kali ini kisahseram.com
membawakan kisah hospital berhantu dari negara Amerika Syarikat.
Waverly Hills Sanatorium merupakan sebuah hospital yang terletak di
Louiseville, Kentucky, Amerika Syarikat. Ia dikatakan sebagai tempat
yang paling berhantu di Amerika Syarikat dan ini adalah disebabkan
pelbagai kisah dan legenda bandar yang diceritakan mengenai tempat ini
dan sejarahnya. Waverly Hills dibina pada tahun 1910 sebagai sebuah
pusat rawatan pesakit batuk kering yang merebak ketika itu.
Terdapat
banyak kes kematian yang dilaporkan berlaku di Waverly Hills ketika
menerima rawatan di situ berikutan masalah ketiadaan penawar dan rawatan
khusus untuk penyakit batuk kering dan rawatan yang diberikan hanyalah
untuk tujuan ujikaji. Pesakitlah yang menjadi mangsa ujikaji tersebut.
Kebiasannya, rawatan yang diberikan kepada pesakit tidak berkesan untuk
melawan penyakit batuk kering. Waverly Hills Sanatorium kemudiannya
ditutup oleh kerajaan negeri kerana terdapat kes penderaan terhadap
pesakit.
Salah satu cerita hantu yang popular di situ ialah seorang jururawat yang dikatakan menghantui tingkat pertama hospital. Jururawat di dalam cerita terbabit cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangannya sendiri. Kemudian, dia berlari keluar daripada bangunan hospital sambil menjerit dan darah terus mengalir keluar melalui pergelangan tangannya yang dikelar. Darahnya menitis di sepanjang lobi hospital dan dia akhirnya mati di depan bangunan hospital Waverly Hills Sanatorium.
Selain itu, kejadian-kejadian misteri yang berlaku di hospital ini dikatakan ada kaitan dengan peristiwa seorang ketua jururawat membunuh diri pada tahun 1928 kerana mengandung luar nikah dan dalam keadaan hamil tersebut dia ditinggalkan oleh kekasihnya. Tertekan dengan keadaan itu, jururawat itu membunuh diri dengan menggantung diri di dalam bilik 502. Nama jururawat itu adalah Mary Lee. Mayatnya terbiar lama dalam keadaan tergantung sebelum ditemui.
Kononnya juga berlaku kejadian seorang jururawat membunuh diri dengan terjun dari tingkap bangunan itu pada tahun 1932. Sejak itu kelibat seorang jururawat muda sering dilihat berlegar-legar di hospital berkenaan. Kisah yang terbaru mengenai bilik 502 telah tersebar dan ia adalah tentang seorang lelaki gelandangan yang dibunuh oleh sebuah kumpulan dalam bilik tersebut. Ada yang mengatakan bahawa lelaki itu dibunuh dan digunakan sebagai korban di dalam satu ritual penyembahan syaitan.
Cerita tentang terowong kematian juga terkenal di Waverly Hills Sanatorium. Terowong ini asalnya dibina untuk mengangkut barang-barang keperluan hospital ketika musim sejuk. Disebabkan banyak kes kematian yang berlaku akibat penyakit batuk kering, melalui terowong inilah mayat-mayat pesakit dialihkan untuk mengelakkan pesakit dan staff yang lain melihat mayat-mayat tersebut. Ada lagenda bandar yang mengatakan bahawa mayat-mayat tersebut hanya dicampak ke bawah terowong dibiarkan jatuh begitu sahaja.
Dikatakan, tempat paling berhantu di hospital Waverly Hills Sanatorium adalah di tingkat empat. Selalu ternampak bayangan-bayangan aneh yang dilihat mundar-mandir, daun pintu yang terbuka dan tertutup sendiri dengan kuat serta suara jeritan dan bunyi bising boleh kedengaran pada waktu-waktu tertentu.
Di samping itu, ada juga yang mendakwa terhidu seakan-akan bau masakan dari bahagian dapur yang telah lama terbiar di Waverly Hills. Malah ada yang mendakwa melihat jelmaan tukang masak bekerja di dapur terbiar itu. Di kaki lima hospital pula selalunya akan terdengar suara bisikan, tangisan dan jeritan misteri yang tidak diketahui dari mana puncanya
0 comments:
Post a Comment